....PeRKeMBanGaN PsiKoSoSiaL....
Zaman remaja bukan sahaja merupakan satu jangka masa yang mampu menggugat remaja itu sendiri malah melibatkan ahli keluarga mereka juga. Proses perkembangan remaja dan proses ke arah kematangan juga bukanlah satu keadaan yang mudah untuk dijalani oleh remaja dan keluarga. Kekeliruan mungkin akan wujud dalam diri seorang remaja dalam usaha untuk menyatupadukan antara tuntutan biologi dan sosial yang mungkin bertentangan. Sebagai contoh, keinginan seks yang tinggi adalah bertentangan dengan ajaran agama dan terbatas dalam norma-norma sosial.
Terdapat beberapa aspek yang dihadapi oleh golongan remaja pada peringkat ini. Antaranya :
Kebebasan psikologi – Kebebasan emosi merupakan salah satu kejayaan bagi setiap remaja. Kebebasan emosi ini berlaku melalui proses ‘ individuasi’ yang berterusan. Ia merangkumi harapan, keinginan, sifat, ketrampilan dan cara mempertahankan diri. Kebebasan emosi ini menyebabkan mereka menagih sikap berdikari dan menolak bergantung pada keluarga. Pada masa yang sama, mereka merasa benci apabila ingin menggantikan suasana yang selamat dan tempat bergantung dengan fasa kebebasan ini. Menyentuh soal kebebasan ini, ia tidak boleh disalahertikan dengan menganggap remaja ingin melarikan diri daripada tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa. Namun, ia adalah keadaan dimana remaja mula berfikir dan bertindak secara bersendirian.
Perkembangan Heteroseksual – Pada permulaan dan pertengahan zaman remaja, perubahan hormon akan menyebabkan pertumbuhan ciri-ciri seksual sekunder berlaku. Bagi remaja lelaki, perubahan suara dan kepejalan otot akan berlaku pada tahap ini. Sementara remaja perempuan pula akan mengalami perubahan seperti pertumbuhan buah dada dan lapisan lemak pada bahagian tertentu pada tubuh badan. Remaja mula mengalami dorongan jantina yang tidak pernah dialami sebelum ini. Perhatian tertumpu kepada ibu bapa pada zaman kanak-kanak mula beralih kepada rakan sebaya yang sejenis dengannya. Begitu juga dengan luahan kasih sayang kini lebih tertumpu kepada rakan rapat yang mereka anggap sebagai objek ‘cintanya’.
Penguasaan Nilai Moral – Pada zaman kanak-kanak, sistem moral yang dipelajari adalah diambil sepenuhnya daripada kedua ibu bapa. Pada zaman remaja, mereka mula mendapat pengaruh daripada rakan sebaya yang membawa perubahan dalam sistem moral yang mereka amalkan selama ini. Pengaruh rakan sebaya merupakan proses dimana remaja mula bertindak mengubahsuai atau meninggalkan segala ajaran daripada ibu bapa selama ini. Mereka juga sudah berani menambah atau menyatupadukan nilai yang lama dengan yang baru dipelajari daripada persekitaran mahupun pergaulan. Sekiranya sebelum ini mereka menyanjungi dan kagum dengan kedua ibu bapa, kini ibu bapa diperkecilkan dan remaja menganggap bahawa diri mereka lebih matang dengan idea, nilai serta pengalaman yang tinggi. Hal ini akan menyebabkan ibu bapa menjadi risau dan bimbang sekiranya pengaruh terhadap anak-anak mereka semakin berkurangan. Seandainya situasi ini tidak dapat dikendalikan dengan baik, ianya mampu mengundang pergaduhan dan permasalahan antara ibu bapa dan anak-anak.
Pilihan Pendidikan – Apabila menjangkau usia pertengahan atau penghujung keremajaannya, remaja harus menentukan sendiri beberapa perkara penting tentang kehidupannya pada masa hadapan. Perkara ini dipengaruhi bermula dengan tahap pencapaiannya semasa di peringkat sekolah, tekanan daripada ibu bapa dan juga nilai masyarakat disekeliling mereka. Sekiranya sikap dan aspirasi ibu bapa bertentangan dengan apa yang dipegang oleh rakan sebaya mereka, kekeliruan dan konflik bakal tercetus. Akibatnya, setiap tindakan yang diambil adalah dipengaruhi oleh perasaan dan emosi dan bukannya ditentukan oleh pemikiran yang matang serta waras.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment